Berita Harian: AsiaCyberX sasar lahir 240 pakar keselamatan siber

AsiaCyberX

Asia Cybersecurity Exchage (AsiaCyberX), platform yang dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber utama di dunia menyasarkan untuk melatih 240 pakar keselamatan siber dalam tempoh setahun.

AsiaCyberX adalah kerjasama antara LE Global Services Sdn Bhd (LGMS), ACE Accelerator Network Sdn Bhd dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha menyokong keusahawanan keselamatan siber, di samping membangunkan profesional mahir bagi memenuhi permintaan dalam bidang berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Jailani Johari, berkata sebanyak tiga universiti pengajian awam dan lima universiti pengajian swasta sudah dikenalpasti untuk menyertai Program Pembangunan Keselamatan Siber MDEC selama enam minggu.

Katanya, kursus itu memberi peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang keselamatan siber dan menjamin peluang pekerjaan pada masa depan.

“Peserta kebanyakan daripada pelajar tahun akhir jurusan Teknologi Maklumat (IT) dan selepas tamat program berkenaan, peserta akan ditempatkan di dalam syarikat yang berpotensi tinggi,” katanya ketika melancarkan AsiaCyberX di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi ACE Group, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook.

Sementara itu, Ahmad Fuzi berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kepada syarikat pemula yang berpotensi untuk berkembang dalam sektor keselamatan siber.

“Dalam sektor keselamatan siber, terdapat pelbagai peranan yang perlu diisi dan permintaan dalam sektor ini semakin meningkat.

“Platform ini akan meliputi pelbagai aspek rutin termasuk penganalisis keselamatan yang ditugaskan untuk melindungi dan mengurangkan pelanggaran keselamatan bagi memastikan setiap maklumat dilindungi,” katanya.

Choong Fook pula berkata, AsiaCyberX bertujuan mengenalpasti bakat keselamatan siber yang belum diketengahkan dan usahawan yang memiliki potensi berkembang maju.

“Melalui latihan dan program mentor ini, kami ingin membawa ekosistem keselamatan siber Malaysia ke tahap baharu dengan mengukuhkan keupayaan bakat tempatan.

Artikel yang penuh daripada Berita Harian

 

Berita-berita menarik mengenai LGMS boleh didapati di pautan berikut:

TV9 Global: 2018 Interview with LGMS on Cambridge Analytical
TheStar: Protect your networks and devices from cyberattacks
SinChew Daily 星洲日报: 真广告假二维码盗财
BFM: Good Connections are Hard to Find